Friday, January 9, 2004

"Towards A World Class Public Service"

Oleh/By : DATO' SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
PERDANA MENTERI MALAYSIA
Tempat/Venue : INTAN BUKIT KIARA, KUALA LUMPUR

Tarikh/Date : 09/01/2004
Tajuk/Title : MAJLIS PERDANA PERKHIDMATAN AWAM KE-LIMA


"KE ARAH PERKHIDMATAN AWAM BERTARAF DUNIA"


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera


YB Menteri-Menteri


YBhg. Tan Sri Samsudin Osman Ketua Setiausaha Negara


YBhg. Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam


Tuan-tuan, puan-puan, para hadirin yang saya hormati sekelian


1. Alhamdulillah, saya bersyukur kehadrat Allah S.W.T. Kerana dengan limpah, kurnia dan innayahnya dapat kita berhimpun pada hari jumaat yang mulia ini. Saya berbesar hati melihat begitu ramai peserta dan tetamu di majlis ini, termasuk para anggota pentadbiran dan anggota perkhidmatan awam. Sesungguhnya, gandingan dan hubungan mesra antara pemimpin politik dan pemimpin sektor awam perlu sentiasa ditingkatkan, kerana kita sama-sama mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk membangunkan perkhidmatan awam negara.


2. Majlis ini diadakan pada masa yang sesuai, iaitu pada permulaan tahun baru. Ianya satu masa di mana kita banyak melakukan muhasabah dan membuat azam baru, bagi memperbaiki diri, keluarga dan sumbangan kita kepada masyarakat. Selaras dengan itu, saya ingin menyampaikan azam dan harapan saya terhadap perkhidmatan awam malaysia bagi tahun ini dan bagi masa-masa akan datang. Namun, sebelum kita membuat sesuatu resolusi, adalah wajar jika kita sama-sama meninjau kembali pencapaian perkhidmatan awam sekian lama, agar kita dapat mengambil panduan dan pedoman darinya.


3. Di kalangan negara-negara membangun, perkhidmatan awam malaysia adalah antara yang terbaik dari segi peranan dan sumbangan. Dari dahulu lagi, sewaktu negara mencapai kemerdekaan, kita telah mewarisi sebuah sistem perkhidmatan awam yang agak teratur daripada penjajah. Semenjak itu, perkhidmatan awam telah melalui pelbagai fasa pembinaan dan pembangunan yang pesat, untuk menjadi sebuah perkhidmatan yang lebih sempurna dan moden.