Thursday, November 6, 2003

"Cut Bureaucracy" (2) - "Form Task Force"

Oleh/By : DATO' SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
PERDANA MENTERI MALAYSIA
Tempat/Venue : PUTRAJAYA
Tarikh/Date : 06/11/2003
Tajuk/Title : MESYUARAT YAB PERDANA MENTERI BERSAMA-SAMA MENTERI-MENTERI BESAR DAN KETUA-KETUA MENTERI (KENYATAAN AKHBAR)


Pejabat Perdana Menteri

YAB Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi telah mengarahkan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri menubuhkan satu pasukan petugas (task force) untuk mengurangkan karenah birokrasi di negeri masing- masing, dalam mesyuarat bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri di Putrajaya hari ini.

Arahan ini adalah berdasarkan hasrat Kerajaan untuk meningkatkan mutu pentadbiran awam menjadi lebih cekap dan licin. Pasukan petugas ini akan dipengerusikan Menteri Besar, sementara Setiausaha Kerajaan Negeri adalah Setiausaha kepada pasukan ini.

Di mesyuarat yang sama, YAB Perdana Menteri juga telah mengarahkan Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan negeri mengemukakan cadangan kepada Ketua Setiausaha Negara tentang rombakan semula agensi-agensi barisan hadapan, terutamanya Pejabat Tanah, Pejabat Daerah dan Majlis Tempatan.

YAB Perdana Menteri di dalam mesyuarat Kabinet semalam, memutuskan untuk membentuk pasukan petugas di peringkat kementerian. Proses peningkatan melalui pengurangan birokrasi bukan sahaja akan menghasilkan kecekapan, tetapi juga dapat mencegah rasuah. Langkah seterusnya untuk membasmi rasuah termasuk merangka dan melaksanakan Pelan Integriti Nasional. Di bawah pelan itu, sebuah Institut Etika Awam akan ditubuhkan.