Saturday, November 1, 2003

"Work With Me, Not For Me" (Maiden Speech)

UCAPAN PERTAMA PERDANA MENTERI (PETIKAN AKHBAR)

Oleh/By : DATO' SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
PERDANA MENTERI MALAYSIA
Tempat/Venue : KEPALA BATAS, PULAU PINANG

Tarikh/Date : 01/11/2003
Tajuk/Title : UCAPAN PERTAMA PERDANA MENTERI (PETIKAN AKHBAR)

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri bukan merupakan satu kebesaran buat diri atau keluarganya.

Abdullah berkata pelantikan itu lebih merupakan satu tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya untuk mempastikan pembangunan bangsa dan negara berterusan.

Amanah itu perlu dijaga dengan baik, dan beliau meminta kerjasama semua pihak dalam menjalankan tugasnya dengan berkesan.

Ketika berucap pada majlis sambutan kepulangannya di perkarangan pusat khidmat Anggota Parlimen Kepala Batas, Abdullah yang juga anggota Parlimen kawasan itu berharap supaya beliau dikurniakan kesihatan baik oleh Allah dan petunjuk untuk menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

"Saya mohon kerjasama tuan-tuan mendoakan saya sentiasa sihat dan diberi petunjuk sepanjang masa untuk memberikan kebaikan kepada semua kaum di negara ini," kata Abdullah yang mengambil sumpah jawatan Jumaat menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang berundur selepas berkuasa 22 tahun.

Sebelum itu, lebih kurang 10,000 orang berbaris sejauh kira-kira tiga kilometer di sepanjang jalan dari Plaza Tol Bertam, Lebuh Raya Utara Selatan dekat sini hingga ke pekan ini untuk menyambut Abdullah yang diiringi oleh konvoi motosikal dari Lapangan Terbang Bayan Lepas.

Walaupun hujan turun dengan lebatnya ketika beliau berucap, orang ramai yang datang untuk meraikan kepulangan beliau tetap tidak berganjak dan terus mendengar ucapannya.

Abdullah juga mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana memberi kepercayaan kepada beliau sehingga menamakannya sebagai pengganti.

Kepada penduduk kawasan Kepala Batas yang diwakilinya sejak 1978, beliau berjanji untuk terus membangunkan kawasan itu kerana tempat itu menjadi titik permulaan kerjaya politiknya.

Walaupun tidak akan selalu berada di kawasan ini kerana sibuk dengan tugas sebagai Perdana Menteri, katanya beliau akan mempastikan pembangunan kawasan itu berterusan.

Abdullah juga berkata beliau percaya sokongan yang diterimanya daripada penduduk Kepala Batas bukan kerana beliau adalah anak kepada Ahmad Badawi (tokoh pendidikan Islam dan Umno) atau cucu Abdullah Fahim (ulama dan pejuang kemerdekaan) tetapi adalah kerana mereka sayangkan perjuangan parti.