Monday, November 10, 2003

"Work With Me, Not For Me" (RTM Interview)/"Tell Me The Truth" (RTM Interview)

Oleh/By : DATO' SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
PERDANA MENTERI MALAYSIA
Tempat/Venue : PUTRAJAYA

Tarikh/Date : 10/11/2003
Tajuk/Title : TEMURAMAH PERDANA MENTERI BERSAMA RTM

Temuramah Bersama Perdana Menteri Bersama Penolong Pengawal Berita TV RTM, Monshi Abdullah dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Hishamuddin Aun, 10 November 2003.
----------------------------------------------------

SOALAN: Dalam banyak perkara, terutama yang membabitkan soal peralihan dan pertukaran, orang suka ingin mengetahui apakah perubahan yang hendak dilakukan. Apakah pendapat Datuk Seri dalam konteks ini?

PM: Orang nak tengok perubahan yang berlaku. Tetapi pada saya, saya berfikir apakah yang terbaik yang boleh saya lakukan. Apakah perkara yang penting. Kalau itu dianggap sebagai perubahan, Alhamdulillah. Kalau tidak, tidaklah. Umpamanya, saya kata, saya suka orang bekerja dengan saya, bukan kerja untuk saya dan ini nampaknya pada banyak orang satu perubahan, satu pendekatan yang kata mereka menyegarkan. Jadi, mereka sangat suka. Sebenarnya sokongan atau respons positif kepada apa yang saya katakana itu adalah sangat baik. Mudah-mudahan dengan cara ini akan membawa kepada satu cara kerja, satu cara muafakat, satu bentuk pasukan, kerja berpasukan yang lebih berkesan untuk memastikan yang kita boleh mencapai matlamat pembangunan yang telah kita tetapkan.

SOALAN: Selain mengenai tema bekerjasama dengan Datuk Seri dan bukan untuk Datuk Seri, kelmarin Datuk Seri membangkitkan mengenai perlunya maklumat yang tepat dan benar disampaikan kepada Datuk Seri. Apakah Datuk Seri juga berharap kepada kelompok parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi kerjasama sedemikian?

PM: Sebenarnya saya telah membuat permintaan itu ketika merasmikan Konvensyen MIC (di Shah Alam, Ahad lalu). Saya gunakan platform itu bukan saja untuk menyeru ahli parti komponen Barisan Nasional (BN), tetapi juga orang ramai, kumpulan NGO yang suka berhubung terus dengan saya dan orang biasa yang kadang-kadang tulis surat beritahu itu dan ini, minta perhatian saya. Jadi untuk mengelakkan daripada kita terbuang masa ambil tindakan yang tidak betul kepada permintaan itu, malah boleh jadi tersilap dan menimbulkan banyak masalah, saya perlu memastikan maklumat yang diberikan kepada saya itu maklumat yang tepat, yang betul. Kalau maklumat tak betul, maka respons dan tindak balas saya tentulah sekali tak betul. Ini merugikan dan boleh menjadikan keadaan kelam kabut. Itulah yang saya harapkan. Ada pula orang kata, setengah orang takut nak bagi maklumat, nanti mungkin saya susah hati tidak boleh tidur. Pada saya ini tidak menyusahkan saya. Sebenarnya sebagai pemimpin, saya bersedia untuk menghadapi apa juga maklumat yang diberikan kepada saya walaupun maklumat itu mengejutkan, boleh buat saya rasa sedih, boleh buat saya rasa gusar, terkejut, tergempar. Itu tak kisah. Pada saya yang penting, yang kita nak tahu ialah apakah yang betul dalam hal ini. Kalau betul Alhamdulillah. Itulah penekanan saya. Saya nak ini dibuat bukan hanya kepada saya. Biarlah ia menjadi amalan semua orang, kepada sesiapa juga. Sesama kawan-kawan dalam jabatan misalnya, pegawai nak beritahu sesuatu kepada menteri, kepada KSU (Ketua Setiausaha), kepada Ketua Pengarah, biarlah tepat. Mana-manapun perhubungan itu, perhubungan yang tepat ini baik dan saya anggap ini sebagai satu keikhlasan. Tetapi kalau kawan-kawan kata saja, dia ni sokong saya, dia bersama saya, tetapi semua cakap tak betul, lebih suka memuji-muji, ini tak kenalah. Macam ini tidak membawa kepada kebaikan, terutama dalam konteks apa saya perlu lakukan. Kita mahu kawan, kita mahu pembantu, kita mahu penolong, bukan pembodek. Ini tak boleh. Ini adalah kawan-kawan yang berupa sokong membawa rebah. Jadi, dia tidak begitu ikhlas dalam hal-hal memberi maklumat, khabar dan sebagainya.

SOALAN: Tetapi Datuk Seri, kemungkinan juga mereka bimbang jika mereka menyatakan sesuatu yang benar, mereka akan memperlihatkan prestasi mereka yang lemah atau membongkar kelemahan diri mereka sendiri. Ini yang mungkin jadi halangan.

PM: Macam-macam boleh jadi halangan. Tetapi jika mereka anggap perkara itu menjadi halangan, saya akan marah, saya akan tengking, saya ada dukacita dengan dia, saya akan kecewa dengan dia. Bagi saya, perkara itu tidak akan berlaku. Tetapi kalau apa pun, saya akan panggil dia dan tanya dia habis-habis, betul atau tidak.

SOALAN: Datuk Seri juga turut menggunakan analogi sebuah pasukan bola sepak yang memerlukan keseluruhan pemain patuh kepada arahan jurulatih untuk mencapai kemenangan. Ini satu penekanan yang sebenarnya diterima. Jadi, bagaimanakah Datuk Seri dapat menerapkan kefahaman ini untuk menjadi ikutan rakyat keseluruhannya?

PM: Saya perlu pastikan ada semangat setia kawan, semangat berpasukan dan yang penting sekali supaya kita sama-sama memahami apa yang kita nak, apa matlamat kita, ke mana kita nak tuju. Yang kita mahu itu apa dia. Setelah kita faham tentang perkara ini, maka kita boleh bekerja dengan tujuan itu. Kalau kita tidak faham tujuan, maka masing-masing dengan cara masing-masing. Itu yang akan membawa kepada kelam kabut dan kurang berkesan dalam cara kita bertindak. Saya gunakan pasukan, ertinya semua orang dalam pasukan ada peranan. Dalam pasukan yang saya terbabit, saya ada peranan, yang lain pun ada peranan. Jadi, kita semua berperanan, tetapi cara kita menyelaras, cara kita melaksana peranan kita itu mestilah dengan kefahaman kita, melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab. Apa yang kita buat itu adalah untuk kebaikan, keberkesanan pasukan kita, kerana matlamat kita adalah untuk mencapai kemenangan, kemenangan bagi semua.

SOALAN: Datuk Seri, menerima tanggungjawab baru yang juga satu amanah memerlukan masa dan sebagainya. Jadi bagaimana Datuk Seri menerima tanggungjawab ini dan menyesuaikan dengan keperluan masa Datuk Seri sekarang?

PM: Saya menerima tanggungjawab ini dengan rasa senang hati, tidak ada gabra dan risau sangat. Cuma yang saya fahami tanggungjawab ini dan peranan melaksanakannya adalah besar serta amat berat. Jadi saya mencari ketenangan dengan berdoa kepada Allah swt untuk mendapat hidayah, untuk mendapat bimbingan, untuk mendapat ketenangan. Itu adalah cara saya dalam menghadapi apa situasi sekalipun. Jadi, saya anggap ini juga satu peluang untuk saya buat apa yang saya terdaya, untuk memberi sumbangan kepada pembangunan bangsa, pembangunan negara dan juga kita harap saya dapat mencapai kejayaan dalam perjuangan saya untuk agama, bangsa, dan negara. Di samping itu, sebagai ketua BN, saya juga komited kepada perkongsian kuasa, kepada menjayakan muafakat dan kerjasama di kalangan parti komponen. Jadi perpaduan semua kaum itu menjadi satu-satunya yang saya mesti capai. Jika saya mendapat kerjasama daripada semua orang, mahu membantu, mahu bekerjasama, kerja akan jadi mudah dan akan melegakan sebenarnya.

SOALAN: Media asing nampaknya memberi reaksi yang sangat positif terhadap pelantikan Datuk Seri dari mula lagi. Cable News Network (CNN) umpamanya, amat meyakini kemampuan politik Datuk Seri untuk menangani cabaran warisan yang ditinggalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Apakah ini suatu rangsangan kepada Datuk Seri dan apakah Datuk Seri berharap ia akan berkekalan demikian?

PM: Ya, itu adalah pandangan dia, tak apalah. Saya terima kasihlah. Yang pentingnya apa juga yang saya nak buat itu adalah bertunjangkan kepada matlamat untuk menjayakan kerja saya, nak buat itu dengan sebaik-baiknya. Kalaulah pandangan orang awam, pandangan media dalam negeri dan luar negeri itu adalah sesuatu yang baik, Alhamdulillah. Pandangan mereka pun akan membantu juga. Kalaulah media antarabangsa memberi pandangan yang baik kepada saya, mungkin ia juga akan dapat membantu nanti, membantu kejayaan Malaysia untuk mendapatkan sokongan, untuk mendapatkan pelaburan dari luar misalnya dan sebagainya. Ada kebaikannya juga.

SOALAN: Beberapa ucapan tahniah diterima daripada pemimpin dunia atas pelantikan Datuk Seri. Apakah hasrat mereka sebenarnya Datuk Seri?

PM: Hasrat mereka ingin bekerjasama dengan saya dan mahu supaya Malaysia dan negara mereka meneruskan kerjasama yang sedia terjalin disamping itu mahu mengukuhkannya lagi. Pada saya tidak ada masalah sebab saya pun memang berhajat begitu juga. Hubungan dua hala dengan negara lain boleh ditingkatkan lagi supaya kita mendapat keuntungan lebih besar dalam kerjasama itu, baik ekonomi atau apa juga. Tidak ada masalah. Saya tidak ada masalah.

SOALAN: Di sebalik kesibukan Datuk Seri memimpin kerajaan, Datuk Seri juga harus memberi fokus kepada Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Kedua-duanya di bawah kepemimpinan Malaysia. Apakah ada hala tuju baru dan keutamaan Datuk Seri dalam memacu kedua-dua pertubuhan antarabangsa ini?

PM: Ini bergantung kepada apa yang sedang dihadapi oleh OIC waktu ini. Sebabnya itulah yang menjadi keutamaan. Jadi isu-isu yang ada hubung kait dengan perpaduan dan kerjasama di kalangan negara OIC tidak semestinya yang berhubung dengan politik atau kerjasama ekonomi kerana sejak dulu pun kerjasama ekonomi amat kurang. Jadi, kita terlalu sibuk dan terlalu memberi perhatian sangat kepada hal yang berkaitan dengan politik. Walaupun politik itu penting, kita kena terus menjadi kumpulan yang sentiasa menekan mengenai betapa penting masalah Palestin diselesaikan segera. Kita akan guna segala platform yang ada, terutama di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mana muafakat negara OIC dan negara lain dalam NAM juga boleh dibawa sama untuk membantu bagi menjayakan gerakan dan tuntutan kita itu. Dari segi ekonomi, ini boleh dibuat secara individu atau membabitkan beberapa negara. Sebenarnya, saya sudah bercadang nak wujudkan gabungan beberapa negara yang dapat memulakan secara positif bagaimana kita boleh membantu meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi. Jadi, kita kena cari negara yang memang aktif dalam bidang perdagangan, barulah boleh kita mula dan lepas itu kita perluaskan lagi bidang kerjasama ini. Jadi anda mesti memulakannya. Apa yang kita buat baru-baru ini apabila kita adakan ekspo sempena Sidang Kemuncak OIC. Ekspo itu saya harap akan jadi satu kegiatan yang sentiasa dilaksanakan apabila ada sidang OIC. Dengan itu, ia akan jadi pembuka mata kepada negara anggota supaya berminat untuk eksport dan import.

SOALAN: Adakah jangka sama tertentu yang ditetapkan supaya cadangan berkenaan boleh jadi kenyataan?

PM: Kita nak buat, kita buat dengan secepat mungkin. Ada benda yang akan mengambil masa panjang. Semuanya bukan boleh dipastikan berlaku dengan segera. Tetapi kita perlu membuat permulaan, jika tidak kita tak boleh buat apa-apa pun.

SOALAN: Di sebalik keakraban Malaysia dengan negara jiran, masih wujud pelbagai isu yang boleh merenggangkan sedikit hubungan sedia ada. Contohnya penambakan laut oleh Singapura, kebanjiran pekerja asing, isu militan membabitkan negara jiran.

PM: Kita sebenarnya ada masalah. Semua negara jiran kita ada masalah. Dengan Indonesia mengenai Gerakan Aceh Merdeka (GAM), dengan Singapura isu penambakan laut, dengan Thailand masalah sempadan, dengan Filipina soal selatan Filipina, masalah orang selatan Filipina yang membanjiri Sabah. Dengan Brunei, berkaitan dengan sempadan maritim. Jadi ada saja semuanya. Pada saya yang penting ialah saya perlu berusaha bersungguh-sungguh supaya apa juga masalah dua hala yang ada dengan negara jiran itu diatasi. Saya pegang kepada satu prinsip. Prinsip saya ialah supaya dengan jiran kita mesti berkawan dan mesti ada hubungan baik. Jiran yang baik itu pada saya adalah sama penting, mungkin lebih penting lagi daripada sahabat jauh yang duduk sebelah dunia yang lain, yang nak pergi pun mengambil masa berbelas-belas jam lamanya. Jadi jiran itu amat penting untuk keselamatan rantau.

SOALAN: Tema ucapan Datuk Seri semasa merasmikan Perhimpunan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno tahun ini iaitu Mengurus Kejayaan. Apakah ia akan menjadi sebahagian agenda pengurusan Datuk Seri nanti?

PM: Mengurus kejayaan ini besar sebenarnya. Kita nak pastikan kalau kita sudah capai kejayaan dalam sesuatu perkara, dalam sesuatu sektor, kita nak pastikan sektor itu tidak mundur. Apa juga yang telah kita capai itu tidak akan hilang begitu saja. Ekonomi misalnya, kita nak pastikan ekonomi kita terus membangun. Kita nak capai pertumbuhan lebih baik lagi di masa hadapan. Jadi dengan itu kita nak fikir apakah yang menyebabkan ekonomi kita berjalan baik pada waktu ini dan kita nak pastikan faktor yang menyebabkan ekonomi kita itu berjalan rancak atau pun menghala kepada pertumbuhan itu mesti dipelihara. Kalau ada pendekatan yang telah kita gunakan, kita gunakan pendekatan itu. Kalau kita ada dasar tertentu dalam sektor ini yang telah menunjukkan kesan baik, maka dasar itu mesti terus dijalankan. Itu bermakna belajar daripada kejayaan yang diperoleh pada waktu ini untuk menangani kejayaan pada masa sekarang. Di samping itu kita kena juga fikir untuk masa depan. Itu yang kena menjadi usaha saya, menjadi sumbangan saya untuk masa depan. Dalam hal ini, kalau untuk ekonomi, kita kena pastikan bahawa kita dapat mewujudkan kebolehan kita untuk bersaing. Ertinya kita punya daya saing
perlu ditingkatkan. Kita perlu bina keupayaan kita untuk tingkatkan persaingan kerana persaingan pada peringkat global akan terus menjadi hebat terutama dengan adanya Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) globalisasi, liberalisasi, amat penting.

SOALAN: Sebarang bentuk perbandingan pada peringkat ini tidak akan memberi keadilan baik kepada Dr Mahathir mahu pun Perdana Menteri sendiri, tetapi sehingga hari ini nampaknya perbandingan masih terus dibuat oleh pelbagai media baik di dalam mahu pun di luar negara. Adakah keadaan ini merimaskan Datuk Seri dan bagaimanakah Datuk Seri menangani perkara ini?

PM: Saya tahu. Saya tak kisah apa orang nak kata, katalah, pasal 22 tahun tak ada orang lain jadi Perdana Menteri, yang orang tahu itulah Perdana Menteri sampai panggil Dr Mahathir sebagai PM. Saya pun masa nak balik ke Pulau Pinang baru-baru ni, orang kata kita pakai Perdana One, bukan perdana satu, saya pun terus kata itu PM punya. Lepas itu pegawai aya kata, Pak Lah lah Perdana Menteri sekarang ni, jadi dah lama dia punya, seolah-olah itu saya tak boleh pakai, maka saya diperingatkan `you are the PM now', OK OK betullah tu. Kadang-kadang tersasul. Dr Mahathir ertinya PM, 22 tahun punya cerita jadi kita tak boleh elak bila orang nak banding. Orang tahu Dr Mahathir, PM itu cara dia. Dr Mahathir telah dapat bagi orang faham atau pun orang sudah mula terima cara Dr Mahathir itu cara PM. Jadi kalau ada PM baru macam saya ini, apa pula cara Pak Lah ni, Dr Mahathir buat itu tak boleh dielak, tapi kalau saya dah buat sesuatu dah mula semua dapat faham, mesti ada orang kata ini cara Pak Lah, macam saya kata tadi perlu bekerjasama dengan saya bukan kerja untuk saya. Itu orang utara kata - Pak Lah kita boleh kerja tak ada masalah sampai membangkang, apakah kita boleh bekerjasama? Badan-badan lain pun boleh
kata begitu, individu pun kata begitu, semua orang kata OK. Pak Lah kata nak bekerjasama dengan dia, kita bincang. Itulah, dia akan mengambil masa maklumlah bukan senang. Tapi... orang tetap akan terus membuat perbandingan walaupun mereka membanding tapi yang pentingnya bila saya nak buat sesuatu orang tengok saya buat. Kalau kerja saya itu menjadi, maka ini bukan menjadi masalah kepada rakyat, pada saya itulah. Dr Mahathir sendiri mengakui dia kata Pak Lah dengan dia berlainan stail takkan sama stail tapi matlamat tetap sama demi masa depan bangsa dan negara untuk yang lebih baik, lebih cemerlang. Itu komitmen kita, komitmen Tun Dr Mahathir, komitmen saya dan komitmen semua rakyat Malaysia, jadi kita bekerjasama ke arah itu.

SOALAN: Dalam tempoh 10 hari ini saja beberapa peringatan telah diberikan oleh Datuk Seri sendiri terutama dalam soal rasuah, mahupun ketelusan. Kemudian dari segi perpaduan, konsep sekolah-sekolah. Jadi nampaknya dalam 10 hari ini Datuk Seri telah memberikan satu rangsangan kepada semua untuk bersama-sama dengan Datuk Seri. Bagaimana Datuk Seri dapat menangani tindak balas rakyat terhadap Datuk Seri dalam tempoh berkenaan?

PM: Baik, Alhamdulillah baik, sama ada cara bekerja baik, keutamaan yang telah saya tetapkan yang kita perlu beri perhatian, itu pun dapat sokongan yang baik juga, Alhamdulillah. Bermakna kalau ada sokongan itu harapan saya akan ada juga kerjasama bukan setakat bagi sokongan secara cakap saja, lepas itu lain tak mahu membantu, itu tak seronok kan? Yang kita nak cakap sokongan pun di mana boleh bekerjasama, OK kita akan bekerjasama, menyertai jawatankuasa yang ditubuhkan atau pun mereka sendiri adakan program lain sebagai tanda kami sokong. OK, kata ini Pak Lah kata nak buat macam ini, apa kita nak buat, mereka boleh memikirkan sesuatu tindakan yang baik dan menepati apa yang saya kehendaki. Walaupun saya bekerja di sini dan mereka buat di sana, semuanya satu niat dan satu matlamat, ini yang saya harapkan. Kalau saya katakan ini kita kena `good governance', impian semua syarikat beri perhatian kepada betapa pentingnya ditingkat lagi tadbir urus yang baik, yang ada kewibawaan. Kalau kita nak tingkatkan kecekapan pentadbiran, kita semua akan berusaha ke arah itu dan tak semestinya untuk meningkatkan kecekapan itu dia bergantung kepada apa yang saya cakap saja, mereka sendiri boleh fikir dan cari jalan macam mana nak perbaiki. Kalau mereka dapati satu pendekatan mentadbir itu telah menunjukkan satu keberkesanan, maka saya nak pinjam idea itu, hantar idea itu pada saya kata Pak Lah kami tadi telah buat begini dan nampaknya berkesan sekali. Kalau begitu OK maka kita guna pakai, kita ambil pendekatan itu dan kita sebar kepada jabatan. Apa malu ambil idea orang, apa nak malu, orang ada idea baru kita tengok idea itu, kita terima dan OK kita laksanakan. Dia pun rasa seronok, dia akan rasa dia buat sesuatu yang membolehkan dia menyertai dalam usaha untuk membangunkan negara.

SOALAN: Maknanya dapat menyumbang bersama?

PM: Ya, kita nak begitu. Itulah kerja berpasukan, kerja bersama, kerja dengan saya - itu maknanya.

SOALAN: Masa yang terluang untuk Datuk Seri bagi sebarang aktiviti lain sekarang amat terbatas, bukan lagi untuk keluarga, bukan lagi untuk bermain golf?

PM: Itu kita tak boleh buat apa dah..

SOALAN: Bagaimana Datuk Seri nak menangani keadaan ini, nak membahagikan masa antara tanggungjawab sebagai seorang pemimpin negara dan juga seorang ketua keluarga?

PM: Emm... kalau kita tak ada masa, dulu pun tak ada masa juga ketika saya jadi Menteri Luar, selalu keluar bila ada masa tak cukup, Ya lah masa sedikit yang ada untuk keluarga itu hendaklah digunakan sebaik-baiknya,

SOALAN: Masa berkualiti?

PM: Ya. Bagi seorang bapa yang ada masa banyak, bini dok rumah, dia dok rumah tapi baca surat khabar, anak semua keluar, jangan dok dekat- dekat bapa nak baca surat khabar, dok kat rumah bapa nak tidur, semua tengok tv. Anak-anak memerlukan interaksi masa bermanja, berlari kadang- kadang nak main dengan kita, dia nak baca buku, nak tunjuk permainan itu pada ayah, ini yang mak beli, ini yang abang bagi pada dia, dia bangga untuk berkongsi bersama kita. Jadi kita kena ada masa untuk berinteraksi supaya nanti apabila kita tidak ada, anak-anak ingat dan kenang masa dia bermain dengan kita, masa dia berinteraksi dengan kita, masa dia berjenaka dengan kita. Dia ingat, dia tidak ingat bapa ada pun tak kisah, kita biar, kita main, tengok tv pun kena berhenti, jadi macam satu beban juga depa bila bapa ada rasa tak seronok, semua tak boleh buat, itu tak boleh buat, sebab bapa tak pernah berinteraksi dengan anak-anak. Saya tak pernah belai anak-anak itu lain, itu saya kena buat masa berkualiti. Jadi kalau main golf tak boleh 18 lubang, sembilan pun jadilah, tapi kena cari kawanlah.

SOALAN: Kenyataan Datuk Seri yang menyebut bahawa kerajaan sedia hadapi cabaran kritikan luar. Apakah sebenarnya mesej yang hendak disampaikan Datuk Seri dalam kenyataan yang dibuat pada 20 Oktober lalu itu?

PM: Ya, kita akan dan kita mesti hadapi segala cabaran. Kita tak tahu cabaran yang mendatang. Ada yang berbahaya mungkin, yang mendatangkan kesusahan kepada kita tetapi yang penting dalam hal ini ialah kalau ada cabaran terbuka, cabaran terhadap kewibawaan, kedaulatan negara kita semua kena muafakat menghadapinya. Dalam hal ini, semua pihak sama ada dari parti pembangkang atau parti kerajaan, semua golongan Muslim sama-sama menghadapi cabaran itu dengan kesempatan yang ada pada kita. Dalam hal ini tentulah kerajaan diharap memainkan peranan yang lebih besar kerana peranan kerajaan tentulah diketahui dalam hal ini. Hubungan luar atau hubungan antara kerajaan dengan kerajaan, jadi saya tentulah sebagai ketua kerajaan kena melaksanakan apa juga tindakan yang diperlukan. Tetapi kalau memahami bahawa ada sokongan yang kuat, ada muafakat, ada pendirian Malaysia yang benar-benar kukuh, maka ia akan menjadi satu kemudahan kepada saya untuk membuat gerakan yang perlu, tindakan yang perlu diambil dalam menghadapi cabaran itu. Saya ambil contoh, kalau dulu umpamanya masa kita hadapi krisis mata wang yang teruk, tapi rakyat memberi keyakinan kepada kerajaan pimpinan Dr Mahathir pada masa itu dan bersedia untuk memberi jalan, bersedia untuk memberi laluan, bersedia untuk beri peluang jangan ganggu tetapi beri sokongan. Maka kita senang hadapi masalah kita, cabaran itu dan menyelesaikannya. Tetapi kalau kita menghadapi di sini dia buat kacau di sana, datang kacau, keliling kacau, jadi susahlah kita. Benda yang susah jadi banyak susah dan akhirnya semua orang akan jadi susah. Kita tak mahu, bila masanya kita nak mengenepikan perbezaan antara kita untuk menjalin mewujudkan satu kekuatan bersama kerana ia ada hubung kait dengan kedaulatan maruah negara dan bangsa.

SOALAN: Selepas lebih seminggu dalam jawatan ini, adakah Datuk Seri bercadang untuk mendahulukan lawatan ke negara jiran terdekat seperti dilakukan oleh pemimpin lain?

PM: Belum, belum lagi masa ini tak boleh. Bulan Ramadan ini tentu sekali tak bolehlah. Lepas itu pun mungkin saya kena ambil masa sedikit lagi kerana banyak lagi perkara yang perlu diberi perhatian dalam hal ini dan rakyat Malaysia pun belum lagi biasa dengan saya, dengan jawatan yang saya pegang pada waktu ini sebagai Perdana Menteri. Jadi, mungkin ada beberapa perkara yang saya nak lakukan. Saya perlu berjumpa dengan kumpulan tertentu sekarang, dari kumpulan wakil rakyat, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri. Baru-baru ini, saya adakan majlis berbuka puasa untuk hakim, bukan apa, bukan politik sebab saya ingin dekat dengan mereka, sembang dengan mereka, itu saja bukan ada apa. Satu perkara yang mereka kata kepada saya dan saya cukup seronok dengar ialah `cubalah Pak Lah sekali-sekali sebutkan kepada orang bahawa kami ini adalah bebas, orang kata sistem kehakiman ini adalah sistem yang bebas, tapi kita buat keputusan, keputusan mengikut peranan kita yang bebas, kita hanya mentafsirkan sesuatu undang-undang itu untuk membuat keputusan mengenai kes-kes yang dibawa ke mahkamah dan kita buat itu atas nama keputusan kita tapi yang peliknya kadang-kadang bila jadi nampak memihak kerajaan, dia kata kita ni menyokong kerajaan, kita ini tertekan oleh kerajaan untuk membuat keputusan. Kalau buat nampaknya memihak kepada sana, ahh pihak kerajaan dah berasa gelisah, tak elok dah. Jadi susahlah macam itu. Kita terpaksa dengarlah saja. Yang pentingnya ialah kita ada undang-undang. Undang-undang itulah yang menjadi asas untuk membuat keputusan di mahkamah. Ada lagilah yang biasa diambil kira oleh tuan hakim yang arif itu. Jadi itulah. Masa di Parlimen dulu dalam ucapan saya mengenai kebebasan sistem kehakiman iaitu ada kehakiman, ada pentadbiran, tetapi semuanya ini mempunyai matlamat sama. Cuma dalam kerja itu masing-masing tidak akan diganggu dan tak perlu diganggu, tetapi matlamatnya ialah supaya kita menegakkan sistem demokrasi di negara ini. Kita mempunyai satu sistem yang sihat, satu sistem yang baik, sistem yang dapat memberi apa juga yang terbaik. Bagaimanapun, sistem demokrasi itu bukanlah satu sistem yang tiada cacat cela, yang cukup sempurna.

SOALAN: Apakah Datuk Seri akan bertemu dengan kumpulan ahli perniagaan?

PM: Ya, saya akan bertemu.

SOALAN: Apakah mesej yang agaknya nak dibayangkan kepada mereka?

PM: Bagi saya berfikir, apakah yang sebaik-baiknya setelah melihat maklum balas rakyat terhadap tindakan yang saya telah ambil baru-baru ini dan juga ucapan di mana saya tekankan aspek yang tertentu berhubung ketelusan, itupun memang ada hubung kait dengan sektor swasta dan perniagaan.

SOALAN: Kalau saya boleh meminta Datuk Seri menyimpulkan tempoh seminggu yang berlaku ini antara seminggu yang sangat panjang atau seminggu yang sangat singkat?

PM: Dah seminggu saya pun tak perasan, hari-hari ada saja benda. Alhamdulillah. Saya tak kata apa, saya ada sikitlah rasa gembira, ada juga kepuasan bahawa tindakan yang diambil setakat ini nampaknya ada kesan yang baik pada waktu ini dan daripada laporan akhbar, media massa dalam dan luar negeri pun, nampaknya telah memberi pandangan mereka - minggu pertama ini luluslah ujian.