Tuesday, January 6, 2004

Corruption (TV3 Interview)

SOALAN: Dalam banyak hal, Datuk Seri menekankan pembangunan ekonomi. Di samping itu, masalah yang paling ketara, Datuk Seri banyak juga memperkatakan soal rasuah. Apakah pada masa sekarang, Datuk Seri melihat masalah rasuah ini boleh membantutkan perjalanan pentadbiran kerajaan jika tidak dibendung?

PM: Ya, jika tidak dibendung, rasuah akan membawa banyak masalah kepada negara, kepada pentadbiran dan juga kepada swasta. Jika ada rasuah, ertinya kos sesuatu perkhidmatan, kos sesuatu projek yang hendak dilaksanakan akan meningkat dan naik tinggi. Itu yang tidak baik. Yang keduanya pula, jika rasuah itu dibenar ataupun membiak dan menjadi amalan biasa, maka ia juga akan menyusahkan banyak orang, terutama orang yang hendakkan perkhidmatan, hendak memperoleh lesen dan sebagainya, dia tidak ada duit hendak beri sebagai rasuah untuk mempercepatkan pertimbangan kepada permohonan dia untuk mendapat sesuatu. Maka itu jadi tidak baik dan macam-macam sebenarnya kalau cakap pasal rasuah. Mengenai yang tak baik ini saya boleh cakap panjang tetapi semua rakyat Malaysia mengakui bahawa rasuah tidak baik, dan tidak boleh dibenar merebak sampai membawa kepada masalah besar dan membawa kita kepada imej kita yang tidak baik, dan dengan itu menyebabkan orang lari berniaga dengan kita. Pelabur tak suka datang, orang berniaga pun tak suka berniaga dengan kita. Dengan itu maka kita akan menghadapi banyak masalah dan di samping itu amat memalukan.

SOALAN: Apa reaksi pegawai kerajaan sendiri?

PM: Pegawai kerajaan tidak ada bantahan, saya tidak pernah dengar sesiapa tulis surat kepada saya ataupun cakap, ataupun laporan daripada mana-mana pihak yang menentang. Sedikit, sepatah pun tak dengar menentang. Bahkan mereka sama-sama mengakui masalah itu perlu dihapuskan. Yang paling tidak menyenangkan apabila persepsi rasuah itu tebal sehingga menyebabkan imej sesuatu agensi, imej sesuatu syarikat ataupun imej sesuatu jabatan itu jadi tak baik. Yang ini tentulah mereka sendiri rasa resah, jadi kata mereka kalau ada komitmen politik betul-betul nak memerangi rasuah, kami tidak ada masalah untuk memberi sokongan.

SOALAN: Pak Lah pernah bercakap mengenai ikrar diri mengenai rasuah dalam satu majlis.

PM: Ya, saya dah cakap dah, ikrar dah.

SOALAN: Mungkin Pak Lah ada sebut pasal undang-undang banyak manapun kalau tidak ada jati diri.

PM: Ya, yang itu betul. Undang-undang ini kalau kita buat, kalau pun sistem dan undang-undang itu baik tetapi manusia itu jenis yang tidak ambil endah, ataupun dia ada agenda sendiri dan dia ada niat tak baik, maka undang-undang itu tidak akan membawa kesan yang baik kerana orang membantah, orang tak peduli dan di samping itu sistem pun tidak akan bergerak. Jadi saya sentiasa tekankan faktor manusia itu amat-amat penting kerana manusia itulah, faktor itulah nanti yang akan menentukan perjalanan sesuatu sistem sama ada sistem itu akan bergerak dengan lancar dan baik ataupun tidak. Sama ada sesuatu perkhidmatan yang akan diberikan itu baik atau tidak, semuanya bergantung kepada manusia, bukan sangat kepada sistem. Tetapi kalau sistem itu baik dan faktor manusia itu juga baik, maka ia akan membawa kepada hasilnya ialah kecemerlangan. Tetapi kalau sistem itu kurang baik tetapi manusia itu baik, dia masih boleh dapat mengatasi dan membuat penyesuaian bagi menjayakan sesuatu yang hendak dibuat. Tetapi kalau manusia itu tidak baik, apa sistem yang baik pun tidak akan membawa apa-apa kesan.

SOALAN: Masih mengenai rasuah, apakah Pak Lah telah dimaklumkan perkembangan terbaru mengenai Tan Sri Eric Chia, bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel, ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR)?

PM: Tadi pegawai saya beritahu, tangkapan telah pun dilakukan.

SOALAN: Apa komen Pak Lah setakat ini?

PM: Apa yang nak saya komen, itu adalah sebenarnya penguatkuasaan undang-undang. Dan kalau berlaku, telah didapati ada kesalahan yang telah dilakukan yang bersabit dengan rasuah, maka tentulah pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang.