Tuesday, January 20, 2004

"Like Sailing Against The Wind, We Will Not Progress If We Don't Move Forward" (CNY Message)

Oleh/By : DATO' SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
PERDANA MENTERI MALAYSIA
Tempat/Venue : PEJABAT PERDANA MENTERI, PUTRAJAYA

Tarikh/Date : 20/01/2004
Tajuk/Title : AMANAT YAB PERDANA MENTERI SEMPENA TAHUN BARU CINA 2004


AMANAT YAB PERDANA MENTERI
SEMPENA TAHUN BARU CINA 2004



1. Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya kepada masyarakat Cina di Negara ini.

2. Setelah kita bersama-sama menyambut ketibaan tahun baru 2004 dengan penuh kemeriahan dan keharmonian, kini kita akan bersama-sama meraikan perayaan Tahun Baru Cina dengan penuh rasa muhibah dan dalam suasana yang gilang-gemilang. Inilah istimewanya Negara kita Malaysia. Hari Perayaan semua kaum kita raikan bersama-sama dalam suasana mesra dan terbuka. Kekalkanlah semangat muhibah dan permuafakatan ini kerana saya yakin, inilah yang akan menjadi tunjang kekuatan kita untuk terus menerajui kemajuan dalam dunia yang penuh mencabar ini.

3. Sesungguhnya tahun baru merupakan permulaan kepada perjuangan yang baru. Bertitik tolak dari itu, dengan azam, tekad serta iltizam yang jitu, kita harus sama-sama mencipta perubahan yang memangkin kemajuan bukan sahaja untuk diri kita sebagai individu tetapi juga kepada tanahair yang tercinta. Justeru, saya ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menanam resolusi tahun baru bukan sahaja untuk diri kita sendiri tetapi juga untuk Negara kita ini agar ia akan terus maju, aman dan makmur.

4. Pepatah Cina ada mengatakan, “Ibarat Melayar Menentang Arus, Kita Akan Ke Belakang Jika Tidak Maju Ke Hadapan”. Janganlah kita sekali-kali leka dengan pencapaian dan kemakmuran yang kita kecapi hari ini. Kita tidak boleh alpa dengan pencapaian yang ada tetapi harus terus berusaha untuk mengekalkan apa yang dimiliki, serta mencipta kejayaan dan kemajuan demi kemakmuran bersama. Tahun yang akan datang ini harus lebih berjaya berbanding tahun yang lalu.

5. Hakikatnya, usaha-usaha Kerajaan tidak akan berhasil tanpa sokongan padu dari rakyatnya. Justeru itu, menjelang terbitnya fajar Tahun Baru Cini ini nanti, marilah kita bersama-sama berganding bahu, bersatu hati dan melipatgandakan usaha, tanpa mengira bangsa dan agama, untuk membawa Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Selamat Tahun Baru Cina.


Pejabat Perdana Menteri
PUTRAJAYA

20 Januari 2004