Wednesday, May 4, 2005

"Our Fuel Prices The Cheapest in ASEAN"



KENYATAAN MEDIA

1. Selaras dengan dasar Kerajaan untuk membendung kenaikan subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan, Jemaah Menteri hari ini memutuskan untuk menaikkan harga runcit bagi diesel dan petrol sebagai satu langkah berperingkat-peringkat untuk membendung kenaikan subsidi bagi produk petroleum. Sehubungan itu, Jemaah Menteri memutuskan untuk menaikkan harga runcit diesel sebanyak 20 sen seliter dan harga petrol sebanyak 10 sen seliter mulai 5 Mei 2005.

2. Pada tahun 2004, Kerajaan menanggung subsidi produk petroleum sebanyak RM4.8 bilion. Pada tahun 2005, Kerajaan dijangka akan menanggung subsidi sebanyak RM8.96 bilion jika harga runcit kekal pada paras sedia ada dan pada tahun yang sama, Kerajaan akan mengorbankan sebanyak RM7.85 bilion dalam bentuk pengecualian cukai. Ini bermakna Kerajaan mengalami kerugian sebanyak RM16.8 bilion. Dengan menaikkan harga runcit diesel dan petrol, subsidi produk petroleum ialah RM6.7 bilion, iaitu penjimatan sebanyak RM2.2 bilion setahun.

3. Dengan keputusan terbaru ini, harga runcit baru diesel dan petrol di stesen minyak berbanding harga sedia ada adalah seperti berikut:



4. Dengan harga baru ini, harga petrol di Malaysia masih termurah di ASEAN, kecuali Brunei sementara bagi diesel pula terendah kecuali berbanding Indonesia dan Brunei. Perbandingan harga adalah seperti berikut:



5. Subsidi bukanlah cara yang terbaik untuk membantu golongan tertentu kerana ia mewujudkan herotan pasaran (market distortion) yang menyebabkan penggunaan sumber yang tidak cekap. Di samping itu, ia juga akan menyebabkan kegiatan penyelewengan seperti penjualan produk bersubsidi kepada mereka yang tidak layak. Penyeludupan diesel dan petrol keluar negara pula bermakna Kerajaan Malaysia membiayai penggunaan produk berkenaan oleh rakyat asing. Oleh itu, kenaikan harga runcit ini akan dapat mengurangkan jurang antara harga pasaran dan harga subsidi, dan seterusnya diharap dapat mengurangkan kegiatan penyelewengan dan penyeludupan. Andainya kadar penyeludupan ialah 10 peratus, bermakna rakyat telah memberi subsidi RM480 juta kepada rakyat asing, berdasarkan jumlah subsidi sebanyak RM4.8 bilion pada tahun 2004.

6. Meskipun harga produk petroleum antarabangsa telah meningkat sebanyak 65.35 sen seliter bagi petrol dan 75.49 sen seliter bagi diesel dalam tempoh Januari 2004 - April 2005, Kerajaan hanya menaikkan harga sebanyak 7 sen seliter bagi petrol dan 12 sen seliter bagi diesel dalam tempoh tersebut. Kenaikan terakhir diesel sebanyak 5 sen dibuat pada bulan Mac 2005 manakala kenaikan terakhir petrol sebanyak 5 sen seliter pada bulan Oktober 2004.



Pejabat Perdana Menteri
Putrajaya
4 Mei 2005