Friday, July 1, 2005

IPCMC

Oleh/By : DATO' SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
PERDANA MENTERI MALAYSIA
Tempat/Venue : MELAKA

Tarikh/Date : 01/07/2005
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN BANGUNAN KOMPLEKS IBU PEJABAT KONTINJEN POLIS MELAKA


UCAPAN OLEH
Y.A.B. DATO’ SERI ABDULLAH HAJI AHMAD BADAWI
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN BANGUNAN
KOMPLEKS IBU PEJABAT KONTINJEN POLIS MELAKA
JUMAAT, 1 JULAI 2005


YANG AMAT BERHORMAT DATUK SERI MOHD ALI RUSTAM
KETUA MENTERI MELAKA;

YANG DIHORMATI
INSPEKTOR JENERAL TAN SRI MOHD BAKRI HJ OMAR
KETUA POLIS NEGARA;

YANG BERHORMAT
DATO NOH OMAR
TIMBALAN MENTERI KESELAMATAN DALAM NEGERI

YANG DIHORMATI
SAC1 AYOB MOHAMED
KETUA POLIS MELAKA

SAUDARA SAUDARI SEKALIAN.

ASSALAMUALAIKUM WARAH MATULLAHIWABAROKATUH DAN SELAMAT SEJAHTERA.


1. ALHAMDULLILAH SAYA BERSYUKUR KE HADRAT ALLAH S.W.T. DI ATAS LIMPAH KURNIAANNYA DAPAT KITA SAMA-SAMA BERKUMPUL PADA PAGI INI. BERSYUKUR JUGA KE HADRAT ALLAH S.W.T. DI ATAS IZIN DAN RAHMATNYA KEPADA KITA SEMUA UNTUK MENYEMPURNAKAN SEBUAH KOMPLEKS YANG TERSERGAM INDAH YANG DILENGKAPI PELBAGAI KEMUDAHAN MODEN. UCAPAN TERIMA KASIH INGIN SAYA SAMPAIKAN KEPADA SELURUH WARGA POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM) KHUSUSNYA PEGAWAI DAN ANGGOTA PDRM KONTINJEN MELAKA, KERANA TELAH MENJEMPUT SAYA UNTUK MERAIKAN BERSAMA PELANCARAN KOMPLEKS INI.

2. SEBAGAIMANA YANG SAUDARA SAUDARI MAKLUM, KERAJAAN SENTIASA MEMBERI PERHATIAN SERIUS KEPADA KEBAJIKAN DAN KESELESAAN ANGGOTA POLIS. INI KERANA, PDRMLAH YANG MENJADI ANTARA BARISAN HADAPAN DALAM MEMPERTAHANKAN KESELAMATAN NEGARA. PDRM YANG MENENTUKAN KETENTERAMAN AWAM TERUS WUJUD DI NEGARA INI. SAYA PASTI, RAKYAT SECARA AMNYA SEDAR AKAN JASA PEGAWAI DAN ANGGOTA POLIS YANG TELAH BANYAK BERKORBAN KETIKA MENJALANKAN TUGAS MENJAGA KEAMANAN NEGARA. SAYA SENDIRI SENTIASA MELIHAT PDRM SEBAGAI SEBUAH INSTITUSI KERAJAAN YANG PALING ULUNG KE ARAH MENENTUKAN KETENTERAMAN DAN KEDAULATAN NEGARA. OLEH KERANA ITULAH, KEBAJIKAN DAN KESELESAAN WARGA PDRM SENTIASA MENJADI SALAH SATU DARIPADA KEUTAMAAN KERAJAAN.

SAUDARA SAUDARI SEKALIAN,

3. APABILA SAYA MENUBUHKAN SURUHANJAYA DIRAJA PENAMBAHBAIKAN PERJALANAN DAN PENGURUSAN PDRM, TUJUAN UTAMANYA ADALAH UNTUK MENJADIKAN PDRM SEBUAH PASUKAN PENJAGA KEAMANAN DAN PENGUAT KUASA UNDANG-UNDANG YANG BERWIBAWA DALAM ABAD KE 21. ALHAMDULILLAH, BANYAK CADANGAN YANG TELAH KITA TERIMA SELEPAS LAPORAN SURUHANJAYA BERKENAAN DIKELUARKAN BARU-BARU INI. UNTUK ITU, KERAJAAN TELAH MENUBUHKAN SATU JAWATANKUASA KERJA YANG DIPENGERUSIKAN SAYA SENDIRI, UNTUK MENILAI SEGALA CADANGAN SURUHANJAYA DAN MENENTUKAN TINDAKAN YANG PERLU DIAMBIL DALAM WAKTU TERDEKAT DAN DALAM JANGKA MASA SEDERHANA SERTA JANGKA MASA PANJANG. SAYA JUGA SEDIA MAKLUM BAHAWA PDRM TELAH MELAKSANAKAN TINDAKAN UNTUK MENGKAJI CADANGAN YANG DIKEMUKAKAN ITU. SAYA AMAT BERHARAP AGAR WARGA PDRM DAPAT MENERIMA CADANGAN-CADANGAN DARIPADA SURUHANJAYA INI DENGAN MINDA TERBUKA. JADIKAN IA SEBAGAI SATU CABARAN DALAM USAHA MENINGKATKAN PRESTASI KERJA ANDA.

4. SEPERTI MANA YANG SAYA UMUMKAN BULAN LALU, KERAJAAN TELAH MELULUSKAN PERUNTUKAN SEBANYAK RM2.5 BILLION UNTUK MELAKSANAKAN 160 PROJEK PEMBINAAN BALAI DAN KEDIAMAN ANGGOTA PDRM DI SELURUH NEGARA. PROJEK PERUMAHAN INI AKAN MELIBATKAN 25,000 UNIT KUARTERS MENGIKUT KONSEP BINA, SEWA DAN SERAH. KERAJAAN MENGAMBIL KEPUTUSAN UNTUK MEMBINA PEJABAT DAN KEDIAMAN INI DENGAN SEGERA KERANA SAYA TAHU, KEMUDAHAN INI TIDAK MENCUKUPI SEHINGGA MENJEJASKAN PENEMPATAN ANGGOTA POLIS DI KAWASAN-KAWASAN TERTENTU. PADA MASA YANG SAMA, SAYA JUGA TELAH MENGARAHKAN SUPAYA “PROJEK-PROJEK SAKIT” MENGENAI PERUMAHAN DAN BALAI-BALAI POLIS DIKENAL PASTI UNTUK DIBANGUNKAN SEMULA.

5. SEMUA INI DILAKUKAN DENGAN HARAPAN AGAR SUASANA KERJA DAN TEMPAT TINGGAL ANDA DAPAT MENJADI LEBIH SELESA. SAYA PERCAYA, MELALUI KEADAAN INI, ANDA MAMPU MENINGKATKAN LAGI KEUPAYAAN DAN KECEKAPAN SEBAGAI ANGGOTA POLIS YANG BERWIBAWA KETIKA MENJALANKAN TANGGUNGJAWAB SERTA TUGAS ANDA. SEPERTI YANG SAYA KATAKAN TADI, ADALAH MENJADI HARAPAN KERAJAAN UNTUK MELIHAT PASUKAN PDRM MENJADI SEBUAH PASUKAN POLIS BERTARAF DUNIA YANG DAPAT MEMENUHI CITA RASA RAKYAT. SAYA MAHU MELIHAT PDRM MENJADI PASUKAN YANG DISEGANI RAMAI. UNTUK ITU, SAYA MAHU SEMUA PEGAWAI DAN ANGGOTA PDRM MELETAKAN SASARAN INI DALAM DIRI MASING-MASING AGAR IMEJ PASUKAN INI SENTIASA MENYINAR.

SAUDARA SAUDARI SEKALIAN,

6. SAYA SANGAT BERBANGGA DAN BERSYUKUR KEHADRAT ALLAH S.W.T DI ATAS SEGALA KEJAYAAN PDRM SELAMA INI. ANDA SEMUA TELAH MEMBUKTIKAN KEPADA RAKYAT BAHAWA KOMITMEN DAN PENGORBANAN YANG ANDA LAKUKAN, TIDAK TERNILAI ERTINYA. SAYA INGIN MENGAMBIL KESEMPATAN INI UNTUK MENGUCAPKAN TAHNIAH KEPADA PDRM DI ATAS KEJAYAANNYA MENUMPAS DAN MENANGKAP KEGIATAN LANUN DI SELAT MELAKA. KEJAYAAN INI BUKAN SEKADAR DILIHAT SEBAGAI MENYELESAIKAN SATU LAGI KES JENAYAH, TETAPI MEMBERI KESAN YANG MENDALAM TERHADAP KESELAMATAN SELAT MELAKA SECARA KESELURUHAN.

7. DI SINI JUGA, INGIN SAYA MENGUCAPKAN TAHNIAH DI ATAS KECEKAPAN PDRM DALAM MENGENDALIKAN DUA KES KEHILANGAN BAYI DI SUNGAI PETANI DAN SIBU. WALAUPUN KES SEUMPAMA INI ADALAH SESUATU YANG TERPENCIL, NAMUN KEPANTASAN PDRM DALAM MENGENDALIKAN KES INI PATUT MENDAPAT PUJIAN. SYABAS DIUCAPKAN KEPADA PASUKAN PDRM!.

8. DALAM PADA ITU, KITA HARUS INGAT BAHAWA, WALAUPUN PDRM TELAH BERJAYA MENYELESAIKAN KES-KES SEBEGINI DALAM TEMPOH YANG CEPAT, ANDA MESTILAH TERUS MENINGKATKAN LAGI KECEKAPAN ANDA. YANG PALING PENTING, KETIKA ANDA MENJALANKAN TANGGUNGJAWAB ANDA, PASTIKAN ANDA PEGANG KEPADA AMANAH YANG TELAH DIBERIKAN. JAUHKANLAH DIRI ANDA DARIPADA GEJALA RASUAH. AMALAN BURUK INI BUKAN SAHAJA BOLEH MEMAKAN DIRI SENDIRI TETAPI JUGA MENGANCAM KETENTERAMAN DAN KESTABILAN NEGARA.

SAUDARA SAUDARI SEKALIAN,

9. SEPERTI MANA KITA MAKLUM, MELAKA DIKENALI SEBAGAI NEGERI YANG KAYA DENGAN KHAZANAH SEJARAH. IA MENJADI SEBUAH DESTINASI PELANCONGAN YANG PENTING DAN SELAMAT DI NEGARA INI. SUDAH TENTU, PELANCONG TIDAK AKAN DATANG SEKIRANYA TAHAP JENAYAH DI NEGERI INI TINGGI. SAYA DIFAHAMKAN, JUMLAH JENAYAH INDEKS DI MELAKA TELAH MENURUN DARIPADA 3,494 KES PADA TAHUN 2003, KEPADA 3,236 KES PADA 2004. DENGAN SEGALA PROGRAM PENCEGAHAN JENAYAH YANG TELAH DILAKUKAN POLIS NEGERI, SAYA YAKIN, JUMLAH INI BOLEH DITURUNKAN LAGI.

10. OLEH ITU, SEMUA PIHAK TIDAK KIRA AGENSI KERAJAAN ATAU SWASTA HENDAKLAH MEMAINKAN PERANAN DALAM MENAMBAH LAGI KEISTIMEWAAN YANG DIMILIKI NEGERI BERSEJARAH INI. DALAM HAL INI, SAYA DIMAKLUMKAN BAHAWA PDRM TELAH MENUBUHKAN UNIT PELANCONG BERKUDA YANG BUKAN SAHAJA DAPAT MENJAGA KESELAMATAN PELANCONG TETAPI JUGA MENJADI TARIKAN PARA PELANCONG UNTUK DATANG KE MELAKA.

TAMBAHAN: SAUDARA SAUDARI SEKALIAN,

KITA SEMUA KENA BERPEGANG KEPADA TIGA PRINSIP UTAMA KETIKA MENJALANKAN TUGAS KITA. PRINSIP PERTAMA ADALAH KITA PERLU SERIUS DALAM MELAKSANAKAN KERJA KITA. KITA MESTI FAHAMI TUGAS DAN AMANAH YANG DIPERTANGGUNGJAWABKAN INI ADALAH BERAT DAN MESTI DILAKSANAKAN DENGAN BAIK. JANGAN LAKUKAN SESUATU DENGAN SIKAP SAMBIL LEWA SEMATA-MATA, TETAPI LAKUKAN KERJA ANDA DENGAN SERIUS. PRINSIP KEDUA ADALAH BERSIKAP PRIHATIN DAN PENYAYANG. SAYA TAHU, ANGGOTA PDRM SENTIASA BERTEMU DENGAN 1001 MACAM KES ATAU TRAGEDI SABAN HARI. OLEH ITU, KITA MESTI BERJIWA EHSAN DAN BERSIKAP PRIHATIN DENGAN MASALAH MASYARAKAT. CIRI INI PERLU ADA DALAM SETIAP ANGGOTA PDRM. PRINSIP KETIGA PULA ADALAH BERSIKAP ADIL DAN SAKSAMA. JIKA KITA BERSIKAP ADIL, KITA AKAN SENANG DITERIMA OLEH SESIAPA SAHAJA. SIKAP INI JUGA, JIKA SUDAH MENJADI KEBIASAAN DALAM DIRI KITA, SESEORANG ITU BOLEH NIKMATI KEBAHGIAAN DI TEMPAT KERJA DAN KELUARGA. KETIGA-TIGA PRINSIP INI HENDAKLAH DIPEGANG OLEH SEMUA ORANG. MALAH SAYA SENDIRI BERPEGANG KUAT KEPADA KETIGA-TIGA PRINSIP INI DALAM MENJALANKAN AMANAH YANG DIBERIKAN KEPADA SAYA.


11. AKHIR KATA, ADALAH MENJADI HARAPAN SAYA DAN KITA SEMUA AGAR KOMPLEKS INI DAPAT MENIMBULKAN SUASANA KERJA DAN PERSEKITARAN LEBIH SELESA. SETERUSNYA, AGAR IANYA MAMPU MENINGKATKAN KECEKAPAN ANDA DALAM MENJALANKAN TUGAS YANG TELAH DIAMANAHKAN RAKYAT.

12. DENGAN LAFAZ BISMILLAHIRRAHMAN NIRRAHIM, SAYA DENGAN SUKACITANYA MERASMIKAN KOMPLEKS IBU PEJABAT PDRM KONTINJEN NEGERI MELAKA. SEKIAN, TERIMA KASIH.