Saturday, July 30, 2005

"Our Fuel Prices The Cheapest in ASEAN" (2)

KENYATAAN MEDIA

PENGUMUMAN MENGENAI KENAIKAN PARAS HARGA SILING
PRODUK PETROLEUM MULAI 31 JULAI 2005

________________________________________________________________


1. HARGA BARU PRODUK PETROLEUM MULAI 31 JULAI 2005

1.1. Dalam usaha Kerajaan menangani impak kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia dan untuk membendung pertambahan subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan, maka Kerajaan memutuskan untuk menaikkan harga runcit bagi diesel dan petrol. Kerajaan juga memutuskan untuk menaikkan harga runcit LPG selaras dengan tujuan mengurangkan beban subsidi bagi produk tersebut. Berkaitan itu, Kerajaan memutuskan untuk menaikkan harga runcit diesel sebanyak 20 sen seliter, harga runcit petrol sebanyak 10 sen seliter dan harga runcit LPG sebanyak 5 sen sekg mulai 31 Julai 2005.


Harga Jun 2005
(seliter)
Harga baru mulai 31 Julai 2005
(seliter)
Kenaikan
(sen/ liter)
Semenanjung
Petrol RON 97
152
162
+ 10
Petrol RON 92
148
158
+ 10
Diesel
108.1
128.1
+ 20
LPG
140
145
+ 5
Sabah
Petrol RON97
150
160
+ 10
Petrol RON 92
148
158
+ 10
Diesel
108.4
128.4
+ 20
LPG
148
153
+ 5
Sarawak
Petrol RON97
151
161
+ 10
Petrol RON92
148
158
+ 10
Diesel
107.8
127.8
+ 20
LPG
148
153
+ 5


2. JUMLAH PEMBERIAN SUBSIDI DAN PENGECUALIAN CUKAI

2.1. Sejak tahun 2004 Kerajaan telah menanggung subsidi produk petroleum yang semakin meningkat. Beban tanggungan subsidi yang direkodkan pada tahun 2004 berjumlah RM 4.8 bilion dan angka ini dijangka akan meningkat kepada RM 6.63 bilion pada akhir tahun 2005. Angka bagi tahun 2005 ini telah mengambil kira kenaikan harga yang akan berkuatkuasa mulai 31 Julai 2005. Selain itu, Kerajaan juga akan menanggung beban berbentuk pengecualian cukai bagi tahun 2005 yang berjumlah RM 7.85 bilion. Ini bermakna keseluruhan bebanan kerugian yang dialami Kerajaan adalah berjumlah RM 14.48 bilion.


3. KENAIKAN PARAS SUBSIDI DIESEL UNTUK NELAYAN

3.1. Kerajaan amat prihatin terhadap bebanan yang ditanggung oleh golongan nelayan yang membeli diesel bersubsidi pada kadar yang lebih tinggi berbanding dengan harga yang dinikmati oleh pengusaha pengangkutan darat. Untuk membolehkan golongan nelayan menerima paras subsidi yang menyamai dengan harga yang ditawarkan kepada sektor pengangkutan darat, Kerajaan memutuskan untuk menaikkan paras subsidi daripada 44.1 sen kepada 64.1 sen iaitu pertambahan sebanyak 20 sen seliter. Melalui tindakan ini, nelayan akan dapat membeli diesel subsidi dengan harga dilingkungan RM 1.20.


4. PERBANDINGAN HARGA PRODUK PETROLEUM DI MALAYSIA DENGAN NEGARA-NEGARA ASEAN

4.1. Walaupun tindakan menaikkan harga produk petroleum dibuat, didapati harga petrol di Malaysia masih lagi murah berbanding dengan semua negara-negara ASEAN kecuali negara Brunei Darussalam. Sementara itu, paras harga diesel juga paling rendah kecuali jika dibandingkan dengan Indonesia dan Brunei Darussalam. Jadual di bawah menunjukkkan perbandingan harga bahan petrol dan diesel secara perbandingan di antara negara-negara ASEAN.



Negara RON97
(sen / litter)
RON92 (sen/liter) Diesel (sen/liter) LPG (sen/kg)
Malaysia
162
158
128.1
145
Thailand
229
221
182
165
Filipina
207
204
178
125
Singapura
376
348
236
-
Brunei
120
118
70
138
Indonesia
170
164
86
-


5. KESAN PENGECUALIAN CUKAI DAN PEMBERIAN SUBSIDI KEPADA EKONOMI NEGARA

5.1. Pemberian subsidi kepada sektor-sektor tertentu adalah bertujuan supaya pengeluaran produk atau perkhidmatan berada pada kadar yang terkawal dan tidak membebankan rakyat. Pendirian ini adalah untuk memastikan harga barangan keperluan berada dalam lingkungan kemampuan pengguna dan pada masa yang sama mengurangkan kadar inflasi ke tahap yang rendah. Kerajaan juga sedar keputusan menaikkan paras harga runcit produk petroleum termasuk LPG, menyebabkan ada pihak-pihak tertentu yang akan mengambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya untuk membuat keuntungan berlebihan. Kerajaan berharap, perkara ini tidak berlaku. Walau bagaimanapun, sekiranya ini berlaku, Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kerana kita percaya langkah seumpama ini boleh menjejaskan ekonomi negara di samping menaikkan kadar inflasi.

5.2. Kerajaan mendapati terdapat beberapa kesan negatif yang berpunca dari pemberian subsidi. Contohnya harga produk petroleum yang rendah di Malaysia berbanding dengan negara jiran menyebabkan pihak yang tidak bertanggung jawab mengambil kesempatan untuk memperolehi keuntungan mudah dengan menyeludup produk itu ke negara luar. Akibatnya ekonomi negara menerima kesan negatif dan kekurangan produk petroleum di negara ini akan menyusahkan rakyat pula. Selain itu, pembiayaan subsidi secara berterusan mengakibatkan pengurangan perbelanjaan bagi projek-projek pembangunan seperti sekolah, hospital dan jalan raya. Kerajaan telah membuat kenyataan tidak akan memberhentikan pemberian subsidi keseluruhannya tetapi dalam masa yang sama Kerajaan tidak bersedia untuk terus membiayai subsidi yang kian meningkat. Justeru itu kenaikan harga pasaran secara berterusan akan bermakna bahawa subsidi yang diberi Kerajaan tidak dapat dilindungi selama-lamanya.


Pejabat Perdana Menteri
30 Julai 2005