Thursday, February 8, 2007

Record Trillion Trade



Oleh/By : DATO' SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
PERDANA MENTERI MALAYSIA
Tempat/Venue : PEJABAT PERDANA MENTERI, PUTRAJAYA

Tarikh/Date : 08/02/2007
Tajuk/Title : KENYATAAN MEDIA MENGENAI JUMLAH DAGANGAN MALAYSIA YANG MELEBIHI RM1 TRILION: SATU CATATAN SEJARAH YANG MEMBANGGAKAN

Pejabat Perdana Menteri

Dagangan Malaysia mencapai satu catatan sejarah apabila jumlah perdagangan negara berjaya melepasi paras RM1 trilion. Untuk tahun 2006, Malaysia telah mencatatkan jumlah dagangan sebanyak RM1.069 trilion, iaitu satu kenaikan sebanyak 10.5 peratus daripada tahun 2005.

Sesungguhnya, ini merupakan satu pencapaian yang memberangsangkan dan mencerminkan peningkatan aliran perdagangan negara, terutamanya untuk nilai eksport. Eksport negara kini bernilai RM588.949 bilion sementara nilai import adalah RM480.493 bilion.

Biarpun negara terpaksa melalui pelbagai cabaran ekonomi terutama krisis kewangan pada tahun 1997, serta kegawatan ekonomi global pada tahun 2001 dan 2002, Malaysia telah menghadapinya dengan baik dan menunjukkan prestasi perdagangan negara yang terus meningkat.

Ini dapat dilihat daripada jumlah perdagangan negara yang telah meningkat dengan kadar purata 10.8 peratus antara tahun 1997 dan 2006.

Di samping itu, profil eksport negara turut mengalami perubahan penting. Pada tahun 1987, 53.5 peratus dari jumlah perdagangan merupakan komoditi utama seperti petroleum mentah, kayu balak, kayu gergaji, minyak sawit dan getah. Hasil pembuatan hanya merupakan 14 peratus dari jumlah eksport.

Sedekad kemudian, yakni pada tahun 1996, profil eksport negara menunjukkan perubahan yang besar di mana sumbangan komoditi utama telah menurun kepada 17 peratus manakala sumbangan dari sektor pembuatan telah berkembang kepada 78.5 peratus. Ini jelas menunjukkan tahap pembangunan industri yang telah dialami, dan hasil sumbangan sektor pembuatan terhadap jumlah eksport.

Selain itu, terdapat beberapa perubahan pada rakan dagang Malaysia. Dua puluh tahun lalu, rakan dagangan negara tertumpu kepada ekonomi yang maju, seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah. Sepanjang sepuluh tahun lepas, walaupun pasaran ekonomi maju kekal penting, Malaysia telah meningkatkan dagangannya dengan negara-negara di ASEAN, serta Asia Barat, dan China. Sumbangan daripada kemunculan ekonomi serantau yang berkembang di Latin Amerika, Asia Selatan dan Eropah Timur juga terus berkembang.


Pencapaian bersejarah bagi jumlah perdagangan sebanyak RM1.069 trilion pada tahun 2006, telah disusuli dengan beberapa faktor penting iaitu.

i) perkembangan 10.5 peratus bagi sektor perdagangan di mana ianya adalah lebih tinggi daripada jangkaan perkembangan 7 peratus yang dirangka oleh Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) untuk perdagangan dunia pada 2006;

ii) perkembangan sebanyak 10.3 peratus bagi eksport, yang bernilai sebanyak RM588.949 bilion, daripada semua sektor utama, perkilangan, pertanian dan mineral serta bahan api;

iii) lebihan dagangan selama 110 bulan berturut-turut;

iv) lebihan dagangan tahunan yang tertinggi tercatat pada RM108.456 bilion; dan

v) sektor pengilangan yang kukuh di mana menghasilkan permintaan bagi barangan pengantara dan modal, telah melonjakkan perkembangan import sebanyak 10.7 peratus kepada RM480.493 bilion.


Dikeluarkan oleh:
Pejabat Perdana Menteri,
Bangunan Perdana Putra,
Putrajaya.
8 Februari 2007