Wednesday, November 5, 2003

"Cut Bureaucracy"

Oleh/By : DATO' SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
PERDANA MENTERI MALAYSIA
Tempat/Venue : PUTRAJAYA
Tarikh/Date : 05/11/2003
Tajuk/Title : SIDANG MEDIA (KENYATAAN AKHBAR) MENGENAI PERKHIDMATAN AWAM

Pejabat Perdana Menteri

Dalam sidang media pada 5 November 2003, YAB Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, telah mengumumkan bahawa Kabinet telah membincangkan cara untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam dan membasmikan amalan rasuah.

YAB Perdana Menteri telah mengarahkan semua menteri membentuk dan mengetuai pasukan petugas di kementerian masing-masing untuk mengurangkan karenah birokrasi di setiap kementerian, dan jabatan di bawah kementerian masing-masing.

Kabinet juga bersetuju untuk menilai semula agensi- agensi barisan hadapan, bermula dengan Pejabat Tanah, Pejabat Daerah, dan Majlis Tempatan. Ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan serta mengurangkan tempoh pemprosesan perkhidmatan (terutama dalam memproses permohonan yang dibuat orang awam). Ketua Setiausaha Negara akan memulakan usaha rombakan semula ini.

Proses peningkatan melalui pengurangan birokrasi bukan sahaja akan menghasilkan kecekapan, tetapi juga dapat mencegah rasuah. Langkah seterusnya untuk membasmi rasuah termasuk merangka dan melaksanakan Pelan Integriti Nasional.

Pelan Integriti Nasional adalah satu rangka kerja komprehensif dan holistik untuk mengkaji amalan terbaik (best practices), mekanisma baru, jawatankuasa serta struktur bagi menggalakkan urus tadbir yang baik (iaitu akauntabiliti, ketelusan dan kecekapan) di seluruh negara. Pelan Integriti Nasional ini diketuai Ketua Setiausaha Negara dan terletak di bawah naungan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan.

Objektif utama Pelan Integriti Nasional adalah untuk mencegah rasuah serta menerapkan perubahan dalam sikap perkhidmatan awam, sektor swasta , badan bukan kerajaan (NGO) dan masyakarat secara keseluruhan, agar dapat menjadi lebih berwibawa, selaras dengan prinsip pengurusan yang baik serta beretika.

Di bawah pelan itu, sebuah Institut Etika Awam Nasional akan ditubuhkan. Fungsi institut ini, antara lain, adalah untuk menyediakan latihan mengenai etika dan amalan yang sihat; menjalankan penyelidikan mengenai kewibawaan institusi dan sosial; mengadakan seminar, bengkel dan persidangan; serta menjalin kerjasama dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan agensi lain, untuk meningkatkan pengetahuan awam mengenai pencegahan rasuah.